Di malaysia sungguhpun terdapat peruntukan undang-undang untuk penukaran agama ke agama Islam tidak banyak terdapat peruntukan sedemikian untuk penukaran keluar daripada agama Islam. Terdapat perbezaan prosedur ataupun peruntukan diantara negeri-negeri berkaitan dengan perbuatan keluar daripada agama Islam. Perbezaan adalah diantara Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 seksyen 119, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 seksyen 66 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 seksyen 63.
Di dalam enakmen negeri yang disebutkan di atas, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 seksyen 119 satu-satunya negeri yang memperuntukkan bahawa seseorang yang mahu keluar daripada agama Islam hendaklah membuat permohonan pengisytiharan tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah manakala Negeri Melaka dan Sabah tidak mempunyai peruntukan seperti yang terdapat di dalam Enakmen Negeri Sembilan tetapi kedua-dua mahkamah negeri ini hanyalah dengan berpuashati jika seseorang itu telah melakukan sesuatu yang boleh ditafsirkan telah cuba menukarkan iktikad dan kepercayaan agama Islam sama ada dengan pengakuan atau perbuatannya sendiri, dan bukannya melalui permohonan sepertimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen Negeri Sembilan.
Enakmen Negeri Sembilan juga adalah satu-satunya negeri yang mewajibkan pemohon yang ingin keluar daripada agama Islam mengemukan alasan-alasan yang mendorong pemohon berbuat demikian dan hendaklah disokong oleh suatu affidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonannya dan satu-satunya negeri yang menasihati pemohon untuk bertaubat manakala Negeri Melaka dan Sabah setelah berpuashati bahawa sememangnya mahu meninggalkan agama Islam bertaubat serta-merta dan sekiranya bertaubat, pesalah akan dibebaskan.
Enakmen Negeri diantara Melaka dan Sabah mempunyai persamaan dan perbezaan yang terdapat hanyalah pada tempoh masa tahanan di Pusat Bimbingan Islam yang mana Negeri Melaka mensyaratkan tempoh tahanan tersebut adalah tidak melebihi 6 bulan manakala tempoh tahanan bagi Negeri Sabah adalah selama 36 iaitu kira-kira 3 tahun dan perbezaan pada nombor seksyen iaitu Negeri Melaka seksyen 66 manakala Negeri Sabah pada seksyen 63.
Negeri Sembilan pula memperuntukkan selama 90 hari bagi menangguhkan permohonan pemohon yang enggan untuk bertaubat dan pada masa yang sama dikehendaki pemohon supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud memberi peluang kepada pemohon untuk bertaubat. Sekirannya dalam tempoh 90 hari yang diberikan tidak merubah pendirian pemohon untuk bertaubat, setelah mahkamah menerima laporan daripada pegawai yang bertanggugjawab, mahkamah boleh menagguhkan pendengaran permohonan pemohon sekiranya mahkamah mendapati bahawa masih ada harapan untuk orang itu bertaubat.
Kesimpulannya, Enakmen Negeri Sembilan mempunyai prosedur yang agak lengkap berbanding Enakmen Negeri Melaka dan Sabah. Terdapat banyak perbezaan diantara Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan dengan Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah sepertimana yang dibincangkan di atas. Namaun begitu, untuk menetukan sama ada seseorang itu terkeluar daripada Islam ataupun tidak hendaklah terlebih dahulu disabitkan oleh mana-mana mahkamah syariah dan sekiranya tidak disabitkan oleh mana-mana mahkamah syariah maka seseorang itu tetap beragama Islam.

No comments:
Post a Comment